Saturday 27 February 2010

HAKIKAT KETUHANAN - angelfire.com

MENCARI YANG ADA

Puncak yang tertinggi ialah "Ma'rifatullah" (Mengenal Allah). Dengan segenap kepandaian filsafat, mantik, keindahan dan pengalaman. Demikianlah kata seorang sahabat apabila mengisyaratkan sesuatu yang berkaitan dengan buah yang diperolehi dari "Ma'rifatullah" .

Untuk mencapai puncaknya yang hakiki tidak dapat tidak seorang sufi itu perlu mati dan meninggalkan alam kehidupan ini. Jika tidak selama-lamanya mereka hanya asyik dengan angan-angan dan khayalan semata-mata. Mati seperti yang dimaksudkan dengan La Haula Wala Quwwatailla billah.

"Kerana hidup itu pada hakikatnya adalah kegelapan dan mati itulah keterangan."

Dunia dan seisi alam ini telah disepakati oleh ahli-ahli ilmu dan ahli makrifat sebagai sesuatu yang hakikatnya tidak wujud. Ia adalah adum sebenarnya jika dihadapkan dengan Wujud yang Zaati iaitu Wujud Allah. Alam ini wujud cuma pada fikiran sahaja tetapi tidak wujud dalam hakikat. Jadi kehidupan di dunia ini tidak lebih dari satu perkara khayalan sahaja kerana ianya cuma wujud pada fikiran dan tidak ada hakikat wujudnya. Ia adalah semata-mata kosong dan gelap.

Sesuatu yang kosong dan gelap adalah yang merujuk kepada sesuatu yang adum kerana tidak ada sesuatu yang terlebih gelap daripada gelap yang ada di alam ini selain daripada adum atau tidak ada. Yang tidak ada selama-lamanya tidak akan bertukar hakikatnya menjadi ada. Hakikat yang tidak ada(adum) selama-lamanya tidak bertukar menjadi wujud. Jika sudah tidak wujud, maka tentu sahaja tidak ada sesuatu yang boleh diketahui atau difahami atau dirasa atau boleh dilihat. Jadi tidak ada sebarang idea yang boleh dicetuskan di sini melainkan semata-mata kosong, hampa.

Dengan itu, mencari "Yang Ada" daripada sesuatu "yang tidak ada" adalah satu usaha yang sia-sia. Ini adalah kerana yang adum tidak berupaya menzhohirkan keabadian "Yang Ada" sebaliknya pula Yang Ada atau Yang Wajibal Wujud inilah yang mewujudkan segala sesuatu yang adum kepada ada. Wujudnya yang adum itu(hamba) adalah dari limpahan Zat Yang Wajibal Wujud. Jika demikian ia tidak lain sekadar untuk menyatakan Tajalli Keabadian Yang Wajibal Wujud itu. Zat yang Ghaibul Ghuyub itu selama-lama tidak akan ada kenyataannya tanpa ada penzhohiran Kesempurnaan Sifat-sifatNya. Sesuatu yang akan dizhohirkan sememangnya telah maklum dalam pengetahuanNya Yang Qadim. Ini dinamakan sebagai A'yan Sabitah. Mustahil sesuatu yang hendak dizohirkan berada di luar Pengetahuan Yang Qadim itu. Oleh itu bentuk-bentuk penzhohirannya telah sedia ada sebagaimana Qadimnya Zat itu. Ia zhohir pada batin Zat Yang Qadim. Ia zhohir dalam perhimpunan titik itu. Ia zhohir setelah bersama ghaib dalam lautan AhdiyahNya.

Dalam ketenangan lautan Ahdiyah timbul buih Wahdah. Wahdah adalah kenyataan kesempurnaan SifatNya. Inilah Hakikat Muhammadiyah atau Nur Muhammad. Di dalam titik inilah terhimpun seluruh hal-ahwal. Titik inilah yang akan menuliskan huruf Alif dan yang lainnya. Titik itulah yang akan menyatakan perincian rahsia yang terdapat dalam dakwat melalui pena. Inilah perbatasan dan pintu untuk mengenali yang "tidak ada had". Melalui tulisan.......melalui Alif......melalui noktah........dan memasuki botol dakwat. Melalui afa'al, melalui asma, melalui sifat....dan ghaib bersama ghaibnya Zat Wajibal Wujud. Melalui arwah.....melalui Wahdiyah......melalui Wahdah dan menjadi Rahsia dalam Ahdiyah. Melalui Syuhud....melalui Nur....melalui Ilmu....bersatu dalam Keabadian Wujud.

Dengan demikian perintah "KUN" atau 'Jadilah' bukan diarahkan kepada 'adam(yang tidak ada) tetapi adalah kepada suatu yang telah ada iaitu bakat-bakat peribadiNya sendiri yang
asal (A'yan Sabitah). Yang nampak pada zhohirnya adalah sementara dan tidak kekal. Yang tersembunyi dalam batinnya adalah kekal dan abadi dalam RahsiaNya. Hakikat 'adam tidak boleh ditukar menjadi Wujud dan sebaliknya; hakikat Wujud tidak akan bertukar menjadi adam. Dialah Yang Zhohir dan Dialah Yang Batin. Dialah Yang Awal Dan Dialah Yang Akhir.

Oleh itu, WujudNya Allah adalah lebih terang dan nyata dari wujud yang lain. Ia adalah Yang Melihat dan Yang dilihat. Cahaya tidak boleh melihat tanpa cahaya dan apa yang terlihat adalah cahaya itu sendiri. Benda-benda adalah gelap. Pelihat melihat dengan cahaya matahari, dan benda yang dilihat adalah dilihat dengan cahaya yang sama. Semua wujud benda adalah gelap. Wujud benda-benda itu dipinjam dari wujud Allah, dan satu Amanah Dari Allah. Dia Yang Melihat dan Yang Dilihat, Yang Diketahui dan Yang Mengetahui. Anda hanya "Adum"(kosong) "Kulli Syaiin Haalika Illa Wajhahu" (Al-Qashash:88) yang bererti "Semua binasa kecuali Wajah Allah".

Untuk mereka yang halus penelitiannya; yang punya "Ma'rifatullah" dan merasai bahawa;
"Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami dalam dunia dan dalam diri mereka, sehingga ternyata pada mereka bahawa ianya adalah benar(Haq)"
(Al-Fusilat: 53).

1 comment:

  1. Bet365 Casino in Mumbai 2021 : Get up to Rs.10 Free! - JT Hub
    Check out the 당진 출장샵 Bet365 mobile casino 익산 출장안마 review with details of 태백 출장마사지 the casino's bonuses and the latest promotions. Find 천안 출장샵 out more 울산광역 출장마사지 here.

    ReplyDelete